Thursday 7 June 2012

"The Leader of The Days...A Testimony and a Gift from Allah SWT.."

Jumaat yang lepas baru saja berlalu, kini Jumaat bertandang lagi...begitu pantas masa berlalu...tandanya dunia ini hampir ke penghujung..namun sedarkah kita...tatkala Jumaat bertandang..apa yang kita lakukan??? Kadangkala kita seolah-olah tidak sedar akan kedatangan Jumaat, kita begitu asyik dan leka dengan buaian mimpi dunia..lantas kita membiarkan Jumaat berlalu tanpa sempat memberi salam kepada tamu mulia itu tanpa sedikit pun rasa bersalah...Subhanallah...hambaMu ini benar-benar kufur akan nikmatMu Ya Allah..padahal Engkau datangkan Jumaat itu buat kami, sebagai rahmat yang melimpah ruah melebihi hari-hari lain...Engkau datangkan Jumaat itu agar kami mengingatiMu melebihi segalaNya di dunia ini...tapi kami seringkali alpa...alpa dengan realiti dunia yang bakal hancur juga pada hari Jumaat jua kelak...






Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.” (Hadis riwayat Tirmidzi).




Betapa Allah SWT sayangkan hamba-hambaNya...Begitu besarnya hikmah hari Jumaat atau dalam bahasa Arabnya “Jumu’ah” yang berasal daripada perkataan “jama’a”, bermakna ‘berkumpul’. Berkumpul yang dimaksudkan di sini ialah menunaikan solat dan mendapatkan ilmu (melalui khutbah) dengan ‘duduk sama rendah berdiri sama tinggi’ bersama-sama jemaah lain tanpa mengira warna kulit atau pangkat, kekayaan, dan keupayaan. Ketika inilah nilai manusia itu sama, yang membezakannya hanyalah iman dan takwa terbit tanpa disedari. Oleh yang demikian, hari Jumaat dikatakan hari untuk umat Islam berkumpul, memanjatkan doa serta melaksanakan pelbagai amal kebajikan untuk mendapat keredhaan dan rahmat daripada Allah S.A.W. Tiada hari yang lebih istimewa daripada hari Jumaat. Buktinya cukup jelas dan nyata bagi orang-orang yang faham dan mensyukuri nikmat Tuhannya:


"A Testimony"


Satu-satunya nama hari yang dijadikan nama surah dalam Al-Qur’an ialah Jumaat, iaitu surat al-Jumu’ah [62] yang terdiri atas: 11 ayat, 180 perkataan, dan 748 huruf. Tiada hari lain yang dijadikan nama surah dalam Al-Qur’an selain Jumaat. Jelaslah Allah SWT mengabadikan nama hari Jumaat di dalam al-Quran sebagai suatu peringatan buat kita. 


"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila telah diseru untuk melaksanakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui." (al-Jumu'ah: 9)


"Apabila solat telah dilaksanakan, maka bertebaranlah kamu di bumi; carilah kurnia Allah sebanyaknya agar kamu beruntung" (al-Jumaah: 10)


"Dan apabila mereka melihat perdagangan atau permainan, mereka segera menuju kepadanya dan meninggalkan engkau (Muhammad) yang sedang berdiri (berkhutbah). Katakanlah, "Apa yang ada di sisi Allah lebih baik daripada permainan dan perdagangan," dan Allah pemberi rezeki yang terbaik." (al-Jumaah: 11)

Demikianlah, Allah SWT mengatakan dengan jelas dalam kalamnya. Allah SWT mengingatkan hamba-hambaNya agar bersegera meninggalkan urusan dunia untuk menunaikan solat. Setelah selesai solat, Allah SWT menyuruh kita meneruskan usaha kita, mencari rezeki di bumiNya dan Dia telah menjanjikan rezeki dan rahmat yang besar buat hamba-hambaNya yang patuh. Maka, bagi mereka yang leka dengan urusan dunia hingga lalai mengingat Allah, mereka itu termasuk dalam kalangan orang yang rugi. Mereka menyangka mereka bisa memperoleh lebih banyak jika mereka menggunakan waktu solat Jumaat untuk urusan dunia, tetapi mereka lupa bahwa segala nikmat itu datangnya dari Allah. Meski Allah memberikan nikmat buat mereka, tetapi nikmat itu tidak akan kekal, kerna Dia berhak mengambilnya kembali bila-bila sahaja yang Dia inginkan. Allah maha berkuasa akan segalanya. Allah pemilik segalanya. Segala yang ada di bumi ini akan kembali kepadaNya. Hanya masa yang menentukan.

Solat Jumaat dua rakaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu adalah semulia-mulia hari yang perlu diambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran ALLAH daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.


Rasulullah bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu. Sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”


Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan di dalam buku kehadiran malaikat.


Pada hari Jumaat, Allah S.W.T mengutus malaikat ke muka bumi. Di tangan mereka kalam-kalam emas, juga kertas-kertas daripada perak, berdiri di pintu-pintu masjid, mencatat nama mereka yang masuk masjid, dan mendirikan sembahyang Jumaat. Apabila telah sempurna sembahyang, mereka kembali ke langit lalu berkata: “Wahai Tuhan kami, kami telah catatkan nama mereka yang masuk masjid dan menunaikan Jumaat."
Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“ Wahai Malaikat-Ku, demi kemuliaan dan kebesaran-Ku, sesungguhnya Aku telah ampunkan mereka, tidak berdosa sedikit pun.”





"The Leader of The Days..."

Dalam satu hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah berkenaan penghulu hari, bermaksud: “Jumaat dinamakan sebagai `Sayyidul Aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).” Katanya Rasulullah SAW bersabda: Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita, sedangkan kita sesudah mereka. Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka perselisihkan itu. Allah telah menunjukkan kepada kita iaitu Hari Jumaat. Maka hari ini (Jumaat) adalah untuk kita. Besok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani.


"A Gift from ALLAH"


Seterusnya, berlainan dengan kewajipan solat (maktĂ»bah) di hari-hari lain yang boleh dilakukan seorang diri (munfarid) sungguhpun sangat dituntut (sunnah mu’akkadah) untuk dilakukannya secara berjemaah (bersama-sama), tetapi pelaksanaan solat Jumaat sesuai namanya yang berasal dari kata "juma'ah" yang bermaksud berjemaah atau berkumpulan (jamak atau ramai), wajib dilaksanakan secara berjemaah. Bahkan imam Syafie menetapkan jumlah minimum jemaah solat Jumaat sebanyak 40 orang dewasa. Syari'at pelaksanaan solat Jumaat harus dilakukan secara berjemaah memiliki nilai-nilai positif tersendiri dalam rangka menyatupadukan ummah dan mengeratkan silatulrahim, ukhwah, dan persatuan. Demikianlah Allah benar-benar cinta akan hambaNya dan Dia tidak mahu hambaNya berpecah-belah dan bersengketa sesama saudara, lantas Dia mengurniakan hari Jumaat buat kita.




Jumaat dikhabarkan sebagai hari yang sangat istimewa dan mulia. Pada hari Jumaat berlakunya lima peristiwa yang penting, iaitu
1)  Allah menciptakan Adam ,
2)  Allah menurunkan Nabi Adam  ke bumi,
3)  Allah mematikan Nabi Adam,
4)  Pada hari itu juga ada suatu saat yang tidak ada seorang hamba pun yang memohon sesuatu, kecuali Allah akan memperkenankan permohonannya, selagi ia tidak meminta sesuatu yang haram. 



Pada hari Jumaat, ada suatu waktu jika seorang hamba memohon dan berdoa kepada Allah, maka nescaya doa dan permohonan itu akan dikabulkan (waktu mustajab). Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda Rasulullah: “Di hari Jumaat itu terdapat satu waktu yang jika seseorang muslim melakukan solat di dalamnya dan memohon sesuatu kepada Allah SWT, niscaya permintaannya akan dikabulkan.” Lalu Baginda memberi isyarat dengan tangannya yang menunjukkan sedikit/singkatnya waktu itu.” Mengenai bila waktu mustajab tersebut, para ulama berbeza pendapatnya. Di antara perbezaan itu, ada dua pendapat yang paling kuat. Pertama, waktu yang mustajab itu saat duduknya imam sampai pelaksanaan solat Jumaat. Pendapat ini diperkukuh oleh Imam Nawawi. Sedangkan pendapat yang kedua menyebutkan batas akhir waktu tersebut hingga setelah waktu Asar. Pendapat yang kedua ini diperkukuh oleh Imam Ibnu Qayyim.

5)  Pada hari itu juga akan terjadinya hari kiamat. Tidak ada satu malaikat pun, sekalipun yang amat dekat kedudukannya di sisi Allah, langit, bumi, angin, gunung, juga lautan, melainkan kesemuanya memohon belas kasihan pada hari tersebut.
( Riwayat Hadis Muslim)



Demikian Allah menyediakan ganjaran dan rahmat yang tidak ternilai buat hamba-hambaNya. Sebagai hamba kita hendaklah mensyukuri nikmat-nikmat tersebut dengan meningkatkan amal, ilmu dan ibadah semata-mata kerana Allah SWT. Antara amalan yang disunatkan pada Hari Jumaat adalah:


Untuk melengkapi kesempurnaan ibadah, terdapat amalan-amalan yang dapat dilaksanakan pada hari Jumaat. Antara lain, memperbanyakkan selawat  ke atas Nabi Muhammad saw. Selawat yang diucapkan akan mendekatkan darjat kaum muslim kepada darjat junjungan mulia kita, Rasulullah saw.


Amalan lainnya adalah membaca Surah al-Kahfi. Mudah-mudahan dengan membaca surah tersebut kita akn beroleh cahaya Allah yang diberikan di antara dua Jumaat. 
Surah al-Kahfi pada awalnya, mengisahkan tentang sekelompok pemuda beriman (Ashhabul Kahfi) yang diselamatkan Allah dengan menidurkan mereka di dalam gua selama bertahun-tahun (menurut riwayat selama 309 tahun Qamariah). Surah ke-18 Al-Quran ini menggambarkan kekuasaan Allah untuk memberi nikmat kepada hamba-hambaNya meski nikmat tersebut di luar jangkauan akal manusia. Selain itu, surah ini berkisar tentang dasar-dasar tauhid dan kepastian datangnya hari kebangkitan iaitu Allah menyatakan kekuasaannya mematikan (dengan cara Dia menidurkan pemuda-pemuda tersebut) dan membangkitkan kembali (dengan membangkitkan pemuda-pemuda tersebut setelah mereka tidur selama ratusan tahun). Allah juga menegaskan bahwa hanya Dia yang berhak menentukan sesuatu perkara sama ada ia akan berlaku atau tidak. Justeru allah SWT menegur Rasulullah saw ketika Baginda lupa melafazkan insyaAllah. Selain itu, Allah SWT memberikan peringatan kepada hambaNya dengan menceritakan kisah ummat-ummat yang terdahulu yang telah dibinasakan kerana mereka ingkar akan perintahNya. Surah ini juga turut mengisahkan tentang kisah Nabi Musa as dan Nabi Khidir, yang mana pada waktu itu Nabi Musa meminta nabi Khidir mengajarkan dia tentang ilmu (iaitu perkara-perkara ghaib seperti hari kiamat). Di penghujung surah ini, Allah SWT mengingatkan kita akan tanda-tanda besar kedatangan hari Kiamat iaitu: apabila runtuhnya tembok yang dibina oleh nabi Zulkarnain, maka Ya'juj dan Ma'juj akan keluar dan membuat kerosakan di muka bumi. Demikianlah Allah SWT menitipkan seribu macam pengajaran dan peringatan dalam surah al-kahfi. Hari Kiamat itu pasti akan datang "al-Haqqah" (al-Haqqah:1) yang akan menggetarkan hati ummat manusia "al-Qariah" (al-Haqqah: 4)


Sedangkan bagi imam, ketika solat Fardhu Subuh disunatkan membaca Surah as-Sajadah dan al-Insan secara sempurna sebagaimana yang dilakukan Rasulullah saw dahulu. Surah Sajadah dan al-Insan mengandungi segala sesuatu tentang awal penciptaan manusia dan kembalinya manusia kepada Allah, juga memuatkan peristiwa berkumpulnya manusia di padang Mahsyar dan kebangkitan manusia dari alam barzakh. 


*Semoga kita lebih mengenali tetamu istimewa kita dalam setiap minggu. Datangnya cuma empat kali dalam sebulan..dan belum tentu kita berkesempatan dengan keempat-empatnya..gunakanlah sedikit masa kurniaanNya untuk mensyukuri nikmatNya agar kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang kufur nikmat.


"Ingatlah Allah ketika dalam khalayak ramai, nescaya Dia mengingatmu ketika kamu bersendirian. Bersyukurlah kepadaNya saat dalam kesenangan, nescaya Dia mensyukurimu di saat kamu kesusahan."



No comments:

Post a Comment