Sunday 19 December 2010

Hidup Cuma Senafas.....


Sudah lama laman ini tidak terisi dengan pengisian suci lantaran batasan waktu yang mengehadkan pancainderaku untuk menyampaikan wadah tatkala fardhu kifayah lebih mendambakan perhatian dariku. Namun sisa-sisa waktu kurniaan Ilahi pasti ku gunakan sebaiknya agar ia tidak terisi angan-angan kosong yang menjadi faktor kegagalan muslimin dan muslimat hari ini.

Malam tadi, sebelumku melelapkan mata, aku sempat membelek helaian-helaian buku yang kupinjam dari rakan seperjuanganku. Ku lihat kulit depan buku itu sepintas lalu- "Soal Hati” hasil karya Mohd Afendi Mat Rani. Lantas, persoalan bermain di fikiranku, "apakah yang cuba disampaikan oleh penulis berdasarkan judul tersebut?”. Ku biarkan persoalan itu bermain di benak fikiranku, kerna ku pasti jawapannya ada di dalamnya. Lantas ku lihat sepintas lalu isi kandungannya. Bab 32 buku tersebut menarik perhatianku-"Faktor Kegagalan Manusia: Panjang Angan-angan”. Subhanallah, aku segera memuhasabahkan diri ini kerna ku rasa angan-angan sering menjadi temanku kebosanan menjengah, sayugia kelapangan tidak terisi tarbiyah Ilahi. Mudah-mudahan, Allah menjauhkan diri ini dari kelalaian dan kealpaan dunia yang sementara.

"Seseorang yang mempunyai banyak angan-angan menghalang dirinya daripada melakukan segala kebaikan dan membawa kepada kejahatan dan fitnah” – Soal Hati, 134

Tatkala kita lebih memilih nafsu dan hati, syaitan semakin girang mendorong kita. Angan-angan palsu menjadikan hati manusia keras dan alpa akan kehidupan akhirat yang kekal abadi.

"Berlalulah masa yg panjang atas mereka dengan panjang umur dan angan-angan, lalu hati mereka menjadi keras” – Surah al-Hadid:16

Bagaimana hati ini bisa dilembutkan???

Hati manusia bisa dilembutkan tatkala sering mengingati kematian, kubur, pahala, dosa, azab Allah dan urusan akhirat. Sebagaimana kata-kata Imam al-Ghazali:

'Kalau kamu memanjangkan angan-angan, maka kuranglah taat kamu kepada Allah, terlambatlah untuk bertaubat, banyaklah perkara maksiat yg akan kamu lakukan, bertambahlah tamak haloba, keras hati dan besarlah kelalaian kamu. Lalu akhirat akan berlalu pergi tanpa bekalan”.

Nauzubillah....

Sahabatku, mahukah kita pulang ke akhirat tanpa bekalan? Dapatkah kita bayangkan betapa pedih dan azabnya saat nyawa ditarik dari hujung kaki sampai ke ubun-ubun rambut? Sedangkan Rasulullah SAW yang nyawanya ditarik dengan penuh kelembutan oleh Malik Izrael itu masih merasakan kesakitan, inikan kita yang hanya manusia biasa, yang tidak punya kemaksuman, yang saban hari bergelumang dosa. Apa yang bakal kita jawab tatkala Malaikat Mungkar dan Nakir menyoal amalan kita di alam barzakh kelak? Mampukah kita menyelamatkan jasad kita tatkala binatang-binatang berbisa: ular, kala-jengking, lipan mengelilingi jasad kita di alam barzakh kelak? Apakah yang akan diperakukan oleh pancaindera kita di akhirat kelak? Sesungguhnya pancaindera kita lebih taat kepada Allah SWT, mereka adalah saksi akan perlakuan kita di dunia ini. Kita yang seringkali mengheret mereka bersama ke arah kelalaian dan kemungkaran ar-Rabb.

Subhanallah...

Pasti sahabat-sahabat semua mengimpikan kesudahan yang baik, ”Khusnul Khatimah”. Oleh itu, kembalilah sahabatku, kembalilah pada kebenaran, segeralah kita meninggalkan kebatilan dunia yang penuh muslihat syaitan. Tinggalah segala kemungkaran, sayugia rahmat Allah pasti sentiasa memayungi hambaNya yang bertaqwa.

Pahlawan Islam ternama, yang pertama memeluk Islam, juga menantu kesayangan Rasulullah SAW, iaitu Saidina  Ali bin Abi Talib pernah berkata:

"Sesungguhnya yang paling aku takuti terhadap diri kamu ada dua, panjang angan-angan dan mengikut hawa nafsu. Ketahuilah bahawa panjang angan-angan melupakan akhirat dan mengikut nafsu akan memalingkan drpd kebenaran. Jika fikiran dan kebanyakan urusan hidup kita tertumpu pada percakapan dunia, sebab-sebab kehidupan, dan hal-hal urusan persahabatan dan lain-lain, maka hati kamu akan menjadi keras”

Nauzubillah...semoga amalan kita sentiasa mencegah kita dari bersifat demikian..

Ingatlah sahabatku, dunia ini hanya sementara, akhirat jua yang kekal abadi, berpada-padalah dalam menguruskan hal duniawi. Justeru, akhirat jua yang kekal abadi. Maka, kejarlah yang abadi agar kita mendapat redha Ilahi.

Isa ibn. Maryam mengatakan mengatakan setiap kita hanya memiliki tiga hari :

"...dunia itu hanya tiga hari sahaja. Kelmarin yg berlalu dan tiada satu pun drpdnya yang tertinggal di tangan kamu. Esok kamu tidak mengetahui sama ada kamu sempat dengannya atau tidak? Maka hari ini yang kamu sedang berada padanya, maka hendaklah kamu merebut peluang keuntungan drpdnya”.

Auf bin Abdullah pula mengatakan usia kita hanya sehari :

"...betapa ramai orang yg sihat melalui satu hari, tetapi dia tidak sempat menghabiskannya kerana dijemput ajal. Betapa ramai yg menunggu esok hari tetapi tidak sempat menemuinya.”

Abu Zar al-Ghifari pula mengatakan usia kita hanya tiga saat sahaja :

"...dunia ini hanya tiga saat sahaja. Saat yg berlalu, saat yg kamu berada padanya dan saat yg kamu tidak mengetahui sama ada kamu sempat dengannya atau tidak. Maka sebenarnya kamu tidak memiliki melainkan satu saat sahaja, kerna maut itu datang drpd saat ke saat.”

Tetapi Abu Bakar al-Warraq menyatakan, kalau usia itu tiga saat ia sebenarnya dikira panjang kerna usia manusia sebenarnya bukan tiga hari, bukan sehari, bahkan bukan juga tiga saat, tetapi hanya tiga nafas sahaja.

"...dunia ini hanya tiga nafas sahaja. Nafas yang telah berlalu, nafas yg kamu kerjakannya iaitu nafas yg kamu sedang berada padanya, dan nafas yg kamu tidak mengetahui sama ada kamu sempat dengannya atau tidak. Berapa ramai orang yg bernafas lalu dikejutkan oleh maut sebelum sempat bernafas yg lain. Maka sebenarnya kamu tidak memilik melainkan satu nafas sahaja, bukan satu hari atau satu jam.”

Oleh yg demikian, kita semua haruslah bertaubat dalam nafas yg pertama kerna mungkin kita tidak sempat untuk bernafas pada nafas yg kedua.-Soal Hati:135.

Maut itu terlalu hampir dan paling dekat dengan kita. Tiada yg lebih dekat melainkan maut. Justeru, sama-samalah kita memuhasabahkan diri ini yg sering kali leka tatkala iman manusia itu seperti roda, kadangkala di atas, kadangkala di bawah. Mohonlah pada Allah agar kita diberi ketetapan iman dan keteguhan hati agar kita mampu memilih kebenaran dan menolak kebatilan.

Wassalam....

P/s: Sebahagian daripada isi artikel ini adalah petikan daripada "Soal Hati", hasil karya:Mohd Afendi Mat Rani

Friday 10 December 2010

Mencari Cinta Sejati...

Hampir seminggu blog ini tidak terisi dengan tarbiyah pengubat jiwa, tatkala tuntutan fardhu kifayah lebih mendambakan perhatianku menelaah ilmu kurniaan-Nya..namun Alhamdulillah, Allah itu Maha Pengasih, tatkala kesibukan membelenggu hambaNya, masih ada sedikit ruangan waktu yang tersisa untuk ku berkongsi sedikit sebanyak ilmu dan kefahaman kurniaan Ilahi..

Tatkala diri ini sibuk menyajikan minda dengan hidangan ilmu sains perubatan, hati juga tidak ku lupa agar ia turut tersaji dengan nutrisi dan zat-zat suci yang kemudiaannya memberi keseimbangan kepada metabolisme tubuh ini. Keseimbangan metabolisme minda dan hati inilah yang seterusnya menjadi panduan untuk kita bertindak berlandaskan gerak hati dan logik akal. Makanan hati yang suci adalah tarbiyah ilmu yang diredhai Allah yang berlandaskan syafaat al-Quran dan hadith Rasulullah saw. Hati, jantung dan minda yang sihat membantu membina benteng pertahanan untuk tubuh ini dari serangan pelbagai virus yang memusnahkan jaringan sel-sel hati dan minda manusia sedikit demi sedikit. Sayugia diri ini khuatir seandainya virus perosak itu berjaya menewaskan limfosit hati, lantas tidak akan ku biarkan jiwa ini kosong tanpa pengisian.

Ku capai sebuah buku berlatar merah jambu dengan harapan rembesan hempedu suci akan menolak cairan bilirubin toksin keluar dari hati ini. Ku selak satu persatu helaian-helaian ’Jalan Wanita Solehah’ yang belum sempat ku hayati minggu lalu. Topik yang menarik perhatian ku adalah ”Cinta Wanita Muslimah kepada Tuhannya”, lantaran hari semalam juga topik yang hampir sama dibincangkan oleh seorang ustaz dalam satu majlis perkongsian ilmu iaitu ”Mencari Cinta Sejati”. Tatkala itu, ku simpulkan kedua-dua tajuk ini dalam satu untaian kukuh iaitu ”Cinta sejati seorang muslimah itu hanyalah untuk penciptaNya yang agung”..

Ku petik kata-kata ustaz semalam, ”Setiap manusia itu sejak azali lagi diberikan naluri cinta oleh Allah agar ia bisa menyintai akan apa yang ada di sekelilingnya”. Benar kata ustaz itu, Allah SWT itu maha penyayang, dikurniakanNya rasa cinta dalam setiap jiwa hambaNya agar mereka saling menghargai antara satu sama lain. Bayangkan seandainya Allah tidak meletakkan rasa cinta dalam jiwa manusia, pasti dunia ini porak-peranda dengan kekejaman dan pertumpahan darah sahaja seperti mana yang dilakukan rejim Zionis terhadap bangsa Palestin. Sesungguhnya kekejaman mereka telah tercatat dalam kalam suci Allah, al-Quran nur Qarim supaya umat Islam hari ini berjaga-jaga dan tidak lalai. Subhanallah, Maha suci Allah yang lebih mengetahui, setiap kejadianNya terlalu sempurna dan penuh ketelitian. Namun, manusia hari ini meletakkan naluri suci kurniaan Ilahi pada tempat yang salah. Cinta yang pada azalinya suci disalurkan pada jalan yang batil sehingga kesucian cinta itu luntur dan pudar begitu sahaja. Kerana gelojak nafsu dan cinta yang didorong oleh syaitan yang sentiasa meracuni akal, manusia hari ini hanyut, maksiat berleluasa di segenap pelusuk dunia. Tiada sekelumit pun rasa malu kepada pencipta, mereka tanpa segan silu melakukan maksiat tanpa menghiraukan bahawa anggota tubuh dan pancaindera mereka sedang menjadi saksi untuk diadili di mahkamah akhirat kelak. Nauzubillah....semoga Allah menjauhi kita dari kemungkaran ini..

Sesungguhnya manusia tidak akan mencintai-Nya melainkan ketika pintu-pintu cinta itu dibukakan untuk mereka. Pintu cinta Ilahi itu sentiasa terbuka bagi mereka yang mendambakannya. Akan tetapi, manusia tidak akan mampu masuk melaluinya melainkan mereka mengikut jalan kalam Allah dan as-sunnah - Jalan Wanita Solehah,63.

Soleh al-Mari pernah berkata di hadapan Rabi’ah: ”Siapa yang paling banyak mengetuk pintu, maka dibukakan pintu untuknya.” Lantas  Rabi’ah berkata, ”Pintu terbuka, akan tetapi siapa yang ingin masuk ke dalamnya?”

Persoalan itu pasti terjawab bagi hamba-hamba yang sentiasa menghargai ketajaman akal dan membelai jiwa dengan ayat suci al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup. Janji Allah itu pasti, cinta Ilahi akan diraih sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 119 yang bermasud:”Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintaiNya...”

”Apabila pohon cinta telah tertanam di dalam hati, disiram dengan air keikhlasan, mengikut sunnah Nabi saw, telah berbuah aneka buah-buahan, maka ia dapat mendatangi untuk memakannya setiap waktu dengan izin Tuhannya. Akarnya tetap kukuh di dalam hati dan cabangnya bersambung di Sidratul Muntaha.” – Imam Ibnu Qayyim (Kitab Madarijul Salikin)

Sebagai mengakhiri perkongsian ini, ku panjatkan syukur kepada Ilahi atas kurniaanNya yang memberi ruangan untuk ku berkongsi dengan teman-teman di laman tarbiyah ini. Selawat dan salam buat junjungan mulia, Nabi Muhammad saw yang mendidik umatnya berpandukan as-sunnah. Semoga dengan ini, sama-samalah kita memburu cinta Ilahi. Cinta manusia tidak akan kekal dan sering kali luntur dek peredaran waktu. Hanya cinta Ilahi yang kekal abadi dan ingatlah janji-janji Allah itu pasti buat hambaNya yang tawaduq serta sentiasa mencari keredhaanNya...

Friday 3 December 2010

JALAN WANITA SOLEHAH....

Tatkala melihat judul buku ini “Jalan Wanita Solehah”, rasa ingin tahu benar-benar menghambat diri ini,buku ini ku pinjam dari seorang temanku..semoga Allah meredhainya kerna telah melaksanakan tarbiyah ilmu biarpun sekadar meminjamkan buku ini,namun ku pasti rahmat Allah itu pasti mengiringi sahabatku dalam setiap patah perkataan yang meresapi sel-sel neuron akalku dan lebih besar lagi pabila setiap ilmu yang disampaikan dalam buku ini menjadi tamu istimewa hati yang sentiasa dahagakan cairan hempedu suci yang bernama ilmu bagi menyingkirkan bilirubin nafsu yang menjadi toksik kepada akal manusia…

Alhamdulillah..ku panjatkan rasa syukur ini kepada Pencipta Agung, Allah SWT kerna memberikan ku sedikit ruang waktu untuk berkongsi serba sedikit ilmu yang menjadi tamu hati ini…Terima kasih ku tidak terhingga buat penerbit dan penulis buku ini, Dr. Ramadan Abu Bakar Mahmud kerna tarbiyah ilmu yang disampaikan ini benar-benar berguna untuk kaum Hawa hari ini yang semakin hari semakin leka dengan buaian dunia yang menjanjikan kemenangan palsu…

Pasti sahabat-sahabat muslimah ku ingin sekali mengetahui kandungan buku ini..pasti sekali kita ingin mencari keredhaan Allah sebagai bekalan hari akhirat kelak kerna kita tidak pasti bilakah Malaikat Maut itu datang menjemput kita..bahkan kita juga tidak tahu bilakah Kiamat itu akan berlaku..Subhanallah..semoga Allah memberi kita waktu untuk memperbaiki diri ini, agar Firdausi itu milik kita bersama..InsyaAllah..

Antara lembaran tarbiyah yang memberi peringatan kepada hati ini ialah kisah kesungguhan wanita pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat yang bersungguh-sungguh melakukan ibadah pada malam hari. Mereka sentiasa menyibukkan diri mereka dengan ibadah malam (Qiyamul Lail) agar diri mereka tidak hanyut diulik mimpi syaitan. Mereka berdiri di hadapan penciptanya dengan penuh keikhlasan dan rasa cinta padaNya,dengan hati dan seluruh anggota bermunajat padaNya dengan alunan zikir di bibir, solat dan bacaan al-Quran.

Malam hari merupakan kehidupan para soleh dan solehah sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

”Kamu wajib beribadah malam, kerana itu merupakan kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu. Sesungguhnya Qiyamul Lail merupakan bentuk taqarub  kpd Allah, menghindar drp dosa, penghapusan kesalahan dan menghalau penyakit dr tubuh.”

Oleh yg demikian, wanita yg solehah sangat senang pabila datang malam hari kerana malam itu mendekatkan mereka kepada kekasih mereka yg Maha Esa, iaitu Allah SWT.

”Malam hari telah tiba, gelap-gelita telah menyelimuti, setiap kekasih pergi kepada kekasihnya. Kesunyianku dengan-Mu! Wahai Kekasih, agar Engkau dapat menyelamatkan aku dari api neraka”- Fatimah binti Mikdar yang sering berpuasa di siang hari dan Qiyamul Lail di malam hari.
Malam itu mengingatkan wanita solehah akan lamanya terbaring di dalam kubur, adakalanya berada di taman syurga atau di dasar neraka. Dengan demikian, mereka benar-benar menyukai malam kerna dapat merasakan kenikmatan di sana yang kekal abadi.

Wanita yang solehah itu sangat takut dan risau jika mereka terhalang dari melaksanakan ibadahnya. Habibah al-Adawiyah, pabila tibanya Isya’, beliau segera naik ke bumbung rumahnya, kemudian mengetatkan baju dan selendangnya. Lalu berkata: ”Ya Tuhanku! Bintang telah bersinar, mata telah tertidur, pintu-pintu istana telah tertutup, namun pintuMu tetap terbuka. Setiap kekasih berduaan dengan kekasihnya. Inilah tempatku berada di hadapanMu.” 

Tatkala tiba waktu sahur, beliau berkata: ”Ya Allah! Malam ini telah berlalu, siang akan tiba. Aku berharap, apakah Engkau mempertemukan malam kepadaku, sehingga aku dapat merasa senang, atau Engkau menghalangnya dariku, sehingga aku merasa berduka.”

Demikianlah yang dilakukan wanita muslimah solehah yang perlu diteladani oleh wanita muslimah hari ini tatkala kita semua hanyut dengan arus kemodenan yang menjanjikan kebahagiaan dunia semata-mata, seharusnya kemodenan itu diselit dengan nilai-nilai tarbiyah yang tinggi agar nilai ketamadunan Islam itu tidak luntur dalam masyarakat Islam hari ini.

”Kemuliaan seorang muslim itu adalah Qiyamul Lail” ~ al-Habib Mustafa

Tingkah laku para sahabat dan wanita solehah di zaman Rasulullah telah memberi pengajaran berharga kepada orang-orang yang tidur. Tatkala wanita-wanita solehah itu mengingatkan mereka akan lamanya terbaring di dalam kubur, yang mana di alam barzakh sana terdapat pelbagai perkara luar biasa yang berlaku berdasarkan perbuatan manusia di dunia. Barangsiapa yg lama terbaring di dunia, maka sedikit tidurnya di alam barzakh (kerna sentiasa diseksa disoal oleh malaikat penjaga kubur dan diseksa dengan pelbagai binatang berbisa). Barangsiapa yg sedikit tidurnya di alam barzakh sana (aman dan tenteram). Maka kita sendiri yg berhak memilih situasi mana yg kita inginkan. Segala apa yg kita lakukan di dunia ini, haruslah difikirkan akan kesan jangka panjang kelak yg kekal abadi. Hiasilah hari-hari mendatang dengan ibadah, bermunajat dan berserahlah di malam hari, nescaya Allah sentiasa mendengar rintihan hambaNya dan berdoalah di malam hari kerna pada setiap malam itu, ada suatu saat Allah turun ke langit yg paling rendah dan tatkala itu sesiapa yg memohon kpd-Nya pasti akan dimakbulkan.

* p/s: Khas buat sahabat-sahabat yg sama-sama berjuang dalam bidang perubatan mahupun bidang lain, peruntukkan sedikit waktu malam mu untuk pencipta yg Maha Agung tatkala dalam kesibukan melaksanakan Fardhu Kifayah..nescaya kita tidak akan rugi walau sedikit pun, bahkan rahmat Allah itu pasti bersama kita..sesungguhnya itulah saat di mana minda kita dapat beristirahat dan saat itu jugalah yg menjana sel-sel neuron kita untuk meningkatkan daya fokus,..InsyaAllah....

Monday 29 November 2010

Perjalanan ilmu........

Belajar dalam jurusan perubatan ini benar-benar memberi peluang kpd ku untuk mendekati penciptaNya..semakin hari semakin dekat diri ini kpd Nya...semakin byk yg dipelajari,semakin aku kagum dgn ciptaan yg Maha Esa..kejadian manusia itu terlalu complicated,,aku tertanya-tanya:'bagaimana bisa hati itu dihubungkan dgn perasaan manusia,.sedangkan setiap saat hati sibuk mengendalikan tugasannya sebagai organ penting dalam tubih manusia...???"Subhanallah maha suci Allah ciptaanMu terlau sophisticated ...sehingga kini masih belum ada satu pun ciptaan manusia yg bisa menggantikan dan melaksanakan semua fungsi hati....

Hati merupakan organ terbesar dlm tubuh badan manusia dgn anggaran berat sekitar 2 kg/3 pounds,terletak di bawah diafragma, di sebelah kanan atas abdominal cavity..fungsinya benar-benar penting untuk metabolisme tubuh manusia..antara tugas harian hati adlh:

-merembeskan cairan hempedu yg membantu membawa sisa perkumuhan dan memecahkan lemak dlm usus kecil semasa proses penghadaman..
-menghasilkan protein tertentu untuk plasma darah
-produksi kolestrol dan 'special protein' yg membantu pengangkutan lemak dlm badan
-menukarkan glukosa berlebihan kpd glikogen simpanan
-regulasi amino acid (binaan asas protein) dlm darah
-menukarkan toxic ammonia kpd urea yg disingkir bersama urine
-membersihkan drugs dan bahan beracun lain dalam darah
-regulasi pembekuan darah
-pertahanan tubuh dari infeksi (produce immune factors) dan menyingkirkan bakteria dr aliran darah

Subhanallah...hati kita sudah cukup terbeban dgn tugasan nya untuk menjamin kesihatan kita..namun kita seringkali mengabaikannya..hati ini seringkali terisi dgn perkara lara dan melalaikan,.sedangkan hati harus diisi dgn kerinduan Ilahi...pabila hati merindui cintaNya,pasti kita cenderung mendekatiNya dan merindukan RasulNya..pasti kita takut melakukan kemungkaranNya,pasti kita gembira melaksanakan syariatNya,,..berilah makanan terbaik untuk hati kita,.tidak sukar untuk menjaga hati..sebutlah kalimah Allah selalu,biasakan mengungkap nama Allah dlm apa jua situasi hatta ketika marah,hindarkan kata-kata yg kasar dan keji,perbanyakkan bacaan al-Quran,menjaga solat,bertenang dan sabar dlm apa jua situasi,,,insyaAllah hati kita pasti bersih..sebagaimana fungsinya untuk membersihkan segala kekotoran badan....hati yg bersih akan menjana akal manusia dan memantapkan iman...amin....=)))

Lintasan hati suci.....

Pabila datang lintasan hati suci yg dikenali dgn ilham drp Allah, ini adlh tanda bahawa Allah tlh mncampakkan hidayahNya ke dlm hati sanubari hambaNya,.lantas seseorg itu akn merasakn suatu sentuhan dan bisikan yg mengajaknya agr mensyukuri nikmat Allah SWT yg dikecapi selama ini. Inilah yg dikatakan taufiq Ilahi sbgimana firman Allah dlm surah al-Zumar yg brmaksud: "jika demikian, adakah org yg tlh dilapangkan Allah dadanya utk menerima Islam, lalu ia tetap berada dlm cahaya (hidayah petunjuk) dr tuhanNya"..

                                                                                          ~ sumber: Soal Hati, Mohd Afendi Mat Rani~

Halaqah rindu...

Halaqah membuka lembaran kekuatan buat hati yang sentiasa perlukan peringatan,buat jiwa yang sentiasa ketandusan kasih dan cinta Ilahi....

Tatkala membelek lembaran buku-buku agama,sayugia hati ini benar-benar terkedu kerna dirasakan diri ini benar-benar banyak melakukan kesilapan...dirasakan seolah-olah ada palit hitam yg terpalit dalam ruangan sel-sel hati ini...palitan yang akan memusnahkan seluruh sel-sel hati dan merosakkan sel-sel minda pemiliknya seandainya hati terus mengikut kata nafsu dan mengetepikan kebijaksanaan akal....syukur Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..dalam sujudku, ku pohon petunjukNya.."Ya Allah, perhatikanlah aku kebenaran dengan yang benar dan berilah aku jalan untuk ku mengikutinya,dan perhatikanlah aku kebatilan dengan yg batil dan berilah aku jalan untuk menjauhinya,,".....syukur petunjuk Allah itu sentiasa ada untuk hambaNya yg sentiasa mngharapkannya...petunjuk Allah itu jelas tanpa ragu...tatkala itu,segala resah di hati ini semakin menghilang,.ketenangan semakin mengisi kekosongan hati ini...sahabat-sahabat ku benar-benar banyak membantu...syukur ku tidak terhingga....jalan tarbiyah ku semakin jelas...suatu masa dulu,inilah yg sering aku fikirkn,petunjuk inilah yg sering aku dambakan,.berkat doa ibubapa ku,..akhirnya jalan firdausi ini telah ku temui...terima kasih abah..nasihat abah tidak pernah ku ketepikan...aku tidak mahu dosa-dosa ku menyebabkn org lain terbeban..aku tidak mahu ayahku disoal di akhirat kelak..aku tidak mahu abah menanggung seksa di neraka kerna dosa anak-anak perempuannya...kasihku buat abah benar-benar membuatkn aku mengetepikan segala keseronokan dunia..aku ingin abah bangga dgn anak-anaknya bukan shj dgn kejayaan dunia tetapi akhirat nan hakiki...sesungguhnya benar kata pepatah..menjaga seorang anak perempuan teramat sukar berbanding menjaga anak lelaki yg ramai...kini aku mengerti akan kata-kata itu...kaum Hawa lah yg sering kali menarik kaum Adam ke neraka...nauzubillah...mudah-mudahkan firdausi itu milik keluargaku...milik sahabat-sahabatku jua....dan milik seluruh umat Islam...