Hampir seminggu blog ini tidak terisi dengan tarbiyah pengubat jiwa, tatkala tuntutan fardhu kifayah lebih mendambakan perhatianku menelaah ilmu kurniaan-Nya..namun Alhamdulillah, Allah itu Maha Pengasih, tatkala kesibukan membelenggu hambaNya, masih ada sedikit ruangan waktu yang tersisa untuk ku berkongsi sedikit sebanyak ilmu dan kefahaman kurniaan Ilahi..
Tatkala diri ini sibuk menyajikan minda dengan hidangan ilmu sains perubatan, hati juga tidak ku lupa agar ia turut tersaji dengan nutrisi dan zat-zat suci yang kemudiaannya memberi keseimbangan kepada metabolisme tubuh ini. Keseimbangan metabolisme minda dan hati inilah yang seterusnya menjadi panduan untuk kita bertindak berlandaskan gerak hati dan logik akal. Makanan hati yang suci adalah tarbiyah ilmu yang diredhai Allah yang berlandaskan syafaat al-Quran dan hadith Rasulullah saw. Hati, jantung dan minda yang sihat membantu membina benteng pertahanan untuk tubuh ini dari serangan pelbagai virus yang memusnahkan jaringan sel-sel hati dan minda manusia sedikit demi sedikit. Sayugia diri ini khuatir seandainya virus perosak itu berjaya menewaskan limfosit hati, lantas tidak akan ku biarkan jiwa ini kosong tanpa pengisian.
Ku capai sebuah buku berlatar merah jambu dengan harapan rembesan hempedu suci akan menolak cairan bilirubin toksin keluar dari hati ini. Ku selak satu persatu helaian-helaian ’Jalan Wanita Solehah’ yang belum sempat ku hayati minggu lalu. Topik yang menarik perhatian ku adalah ”Cinta Wanita Muslimah kepada Tuhannya”, lantaran hari semalam juga topik yang hampir sama dibincangkan oleh seorang ustaz dalam satu majlis perkongsian ilmu iaitu ”Mencari Cinta Sejati”. Tatkala itu, ku simpulkan kedua-dua tajuk ini dalam satu untaian kukuh iaitu ”Cinta sejati seorang muslimah itu hanyalah untuk penciptaNya yang agung”..
Ku petik kata-kata ustaz semalam, ”Setiap manusia itu sejak azali lagi diberikan naluri cinta oleh Allah agar ia bisa menyintai akan apa yang ada di sekelilingnya”. Benar kata ustaz itu, Allah SWT itu maha penyayang, dikurniakanNya rasa cinta dalam setiap jiwa hambaNya agar mereka saling menghargai antara satu sama lain. Bayangkan seandainya Allah tidak meletakkan rasa cinta dalam jiwa manusia, pasti dunia ini porak-peranda dengan kekejaman dan pertumpahan darah sahaja seperti mana yang dilakukan rejim Zionis terhadap bangsa Palestin. Sesungguhnya kekejaman mereka telah tercatat dalam kalam suci Allah, al-Quran nur Qarim supaya umat Islam hari ini berjaga-jaga dan tidak lalai. Subhanallah, Maha suci Allah yang lebih mengetahui, setiap kejadianNya terlalu sempurna dan penuh ketelitian. Namun, manusia hari ini meletakkan naluri suci kurniaan Ilahi pada tempat yang salah. Cinta yang pada azalinya suci disalurkan pada jalan yang batil sehingga kesucian cinta itu luntur dan pudar begitu sahaja. Kerana gelojak nafsu dan cinta yang didorong oleh syaitan yang sentiasa meracuni akal, manusia hari ini hanyut, maksiat berleluasa di segenap pelusuk dunia. Tiada sekelumit pun rasa malu kepada pencipta, mereka tanpa segan silu melakukan maksiat tanpa menghiraukan bahawa anggota tubuh dan pancaindera mereka sedang menjadi saksi untuk diadili di mahkamah akhirat kelak. Nauzubillah....semoga Allah menjauhi kita dari kemungkaran ini..
Sesungguhnya manusia tidak akan mencintai-Nya melainkan ketika pintu-pintu cinta itu dibukakan untuk mereka. Pintu cinta Ilahi itu sentiasa terbuka bagi mereka yang mendambakannya. Akan tetapi, manusia tidak akan mampu masuk melaluinya melainkan mereka mengikut jalan kalam Allah dan as-sunnah - Jalan Wanita Solehah,63.
Soleh al-Mari pernah berkata di hadapan Rabi’ah: ”Siapa yang paling banyak mengetuk pintu, maka dibukakan pintu untuknya.” Lantas Rabi’ah berkata, ”Pintu terbuka, akan tetapi siapa yang ingin masuk ke dalamnya?”
Persoalan itu pasti terjawab bagi hamba-hamba yang sentiasa menghargai ketajaman akal dan membelai jiwa dengan ayat suci al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup. Janji Allah itu pasti, cinta Ilahi akan diraih sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 119 yang bermasud:”Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintaiNya...”
”Apabila pohon cinta telah tertanam di dalam hati, disiram dengan air keikhlasan, mengikut sunnah Nabi saw, telah berbuah aneka buah-buahan, maka ia dapat mendatangi untuk memakannya setiap waktu dengan izin Tuhannya. Akarnya tetap kukuh di dalam hati dan cabangnya bersambung di Sidratul Muntaha.” – Imam Ibnu Qayyim (Kitab Madarijul Salikin)
Sebagai mengakhiri perkongsian ini, ku panjatkan syukur kepada Ilahi atas kurniaanNya yang memberi ruangan untuk ku berkongsi dengan teman-teman di laman tarbiyah ini. Selawat dan salam buat junjungan mulia, Nabi Muhammad saw yang mendidik umatnya berpandukan as-sunnah. Semoga dengan ini, sama-samalah kita memburu cinta Ilahi. Cinta manusia tidak akan kekal dan sering kali luntur dek peredaran waktu. Hanya cinta Ilahi yang kekal abadi dan ingatlah janji-janji Allah itu pasti buat hambaNya yang tawaduq serta sentiasa mencari keredhaanNya...
No comments:
Post a Comment