Sunday, 30 June 2013

Madah buat adinda


Dengarlah adinda madah kekanda,
Tanda ingatan kasih nan tulus;
Madah bersemi mengundang cinta,
Mengisi hati yang suci dan mulus.

Ini bukan suatu pesanan,
Bukan juga suatu peringatan;
Ini tak lebih dari pengalaman,
Untuk dikongsi bersama kalian.

Madah bukan untuk memarahi,
Bukan jua mencipta jarak;
Andai badai melanda hati,
Segeralah bangkit menongkah ombak.

Lumrah manusia ingin disayangi,
Menyulam kasih menganyam cinta;
Cinta adalah anugerah Ilahi,
Tanda kasih pada hambaNya.

Cinta itu mulus dan suci,
Jangan dicemar setitik noda;
Carilah cinta kasih sejati,
Agar hidup dilimpahi redha.

Muslimah sejati tidak tergugat,
Hanya kerana godaan si Adam;
Godaan itu sekadar menggugat,
Membuat hati menjadi kelam.

Si Adam pintar menyusun kata,
Membuat si Hawa terpaut padanya;
Si Hawa harus cerdas bijaksana,
Pintar menilai benar dan dusta.

Andai merasa dirimu sendiri,
Bukan si Adam yang harus dicari;
Sebaliknya kembali pada Ilahi,
Hanya Dia tempat kembali.

Basahkan lidah memuji Ilahi,
Setiap detik setiap ketika;
Cinta sejati pasti bersemi,
Berputik mekar sampai ke syurga.

Andai mengharap cinta nan indah,
Tahajud dan doa harus dilaksana;
Usah gusar usahlah gundah,
Jodohmu sudah tersurat di sana.

Gurindam dikarang bersulam cinta,
Tanda kasih ikhlas dan suci;
Sampai di sini madah kekanda,
Semoga tersemat di sanubari.




No comments:

Post a Comment