Thursday, 17 February 2011

JUMAAT: PENGHULU SEGALA HARI

Dalam kesibukan melaksanakan tuntuntan fardhu kifayah mempelajari secebis ilmu kurniaan Allah, sedar tidak sedar masa begitu pantas berlalu, serasa Isnin baru sahaja menjelang, tapi kini Jumaat bertandang lagi. Betapa cepatnya masa berlalu, syukur hari ini kita masih diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk menemui penghulu segala hari, tetapi adakah minggu hadapan kita masih punya kesempatan? Masih adakah Jumaat untuk kita? Mungkinkah saat itu nanti Malikilmaut telah menjemput kita dari dunia yang fana ini? Subhanallah..Betapa besarnya kuasa pencipta agung alam semesta dan cakerawala. Siang dan malam yang berlalu penuh ketertiban. Matahari dan bulan silih berganti melaksanakan tugasan mereka tanpa jemu, patuh dan taat pada penciptaNya. Bumi beredar pada orbitnya setiap detik waktu tanpa mengenal erti penat dan lelah..tapi kita manusia sering kali lupa, sering kali leka dan lalai, mengejar dunia yang penuh kepalsuan, sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada yang Esa. Inilah hakikatnya manusia, iman manusia seperti roda sekejap di atas, sekejap di bawah. Sekejap iman kita tinggi, sekejap kita lupa dan lalai. Sayugia, saat kita tersedar akan kelalaian kita, serahkanlah sepenuh jiwa kepada Allah SWT, sujud dan berdoalah kepadaNya mohon keampunan dan ketetapan iman. Gunakanlah kesempatan yang ada sebelum nyawa kita diambil oleh Malik Izrael. Saat nyawa berada di hujung halkum, masihkah kita punya waktu untuk bertaubat? Saat di mana syaitan dan sekutunya sedaya upaya cuba menyesatkan hamba-hamba Allah. Saat itu tiada apa yang dapat membantu kita, hanya amalan yang menjadi benteng pertahanan syaitan nirrajim..sama-samalah kita memuhasabahkan diri kita, sempena hari Jumaat yang mewakili penghulu segala hari ini, korbankanlah sedikit masa daripada 24 jam yang Allah berikan. Sesungguhnya hari Jumaat adalah sebaik-baik hari, hari yang mulia, yang mana ada suatu ketika dalam hari ini, bagi sesiapa yang berdoa, pasti Allah memakbulkan doanya. Subhanallah..betapa Allah SWT sayang akan hambaNya, peluang memohon keampunan sentiasa ada, hanya manusia yang sering mengabaikannya.

Telah diriwayatkan oleh Ibnu Majah, daripada Salman Al-Farisi RA katanya, Rasulullah SAW telah bersabda:

“Wahai Salman, adakah engkau tahu apakah itu hari Jumaat?” Lalusaya menjawab, “Allah dan RasulNya sahaja yang mengetahui.”Baginda menerangkan, “Hari itu ialah hari yang Allah himpunkan manusia, seseorang itu apabila berwudhu' dengan baik, kemudian dia pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat, maka ia menjadi kaffarah (penghapus dosa) kepadanya di antara Jumaat itu dan Jumaat berikutnya, iaitu selama dia tidak melakukan dosa besar.” –Riwayat at-Tabrani

As-Sabi’ iyahti Fi Mawa’izhil Bariyyat banyak memaparkan peristiwa agung yang berlaku pada Jumaat. Antara peristiwa itu ialah perkahwinan diantara Nabi Adam AS dengan Hawa; Nabi Yusuf AS dengan Zulaikha: Nabi Musa AS dengan Shafura binti Syuaib AS; Rasulullah SAW dengan Khadijah; Rasulullah SAW dengan Siti Aisyah RA binti Abu Bakar RA serta Ali KW bin Abi Thalib dengan Fatimah az-Zahara RA binti Muhammad SAW.

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat, pada hari itulah, Adam diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga.”

“Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” - Hadith Riwayat Muslim.

Dalam hadith lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdhal daripada hari Jumaat.”

“Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba mu'min apabila meminta (berdoa) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan doanya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” - Hadith Riwayat Tirmizi.

Solat Jumaat dua rakaat yang difardhukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu adalah semulia hari yang perlu diambil manfaat untuk mendapat ganjaran Allah SWT daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.

Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta.”
“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu”
“Barang siapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas.”
“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”

Manakala pada hari Jumaat pula hendaklah ia memperbanyakkan membaca surah al-Ikhlas dan selawat ke atas Nabi. Apabila Imam naik ke mimbar hentikanlah sembahyang sunat dan juga berkata-kata, jawablah seruan muazzin kemudian perhatikan khutbahnya. Apabila selesai dari solat Jumaat, maka bacalah Al-Fatihah 7 kali sebelum berkata-kata dan surah Al-Ikhlas, Surah Ma'uzatain (Surah Al-Falak dan An-Nas) amalan sebanyak 7 kali (Lihat Kitab Sirussalikin Jil 1 - 2. m.s 82).

Hal itu dapat memelihara diri seseorang muslim dari satu Jumaat hingga Jumaat akan datang dan memeliharanya dari syaitan.

Buat kaum Adam yang difardhukan ke atasnya menunaikan solat Jumaat, janganlah sekadar menunaikan solat sebagai kewajipan, tetapi rebutlah peluang yang ada untuk mendapat rahmat Allah SWT. Hadirlah seawal yang mungkin, kerna apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan turut sama mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan dalam buku kehadiran malaikat.

Rasulullah SAW juga bersabda: “Barangsiapa yang dapat menunaikan solat Jumaat maka baginya disisi Allah pahala seratus orang yang mati syahid. Dan barangsiapa meninggalkan solat Jumaat sebanyak 3 kali tanpa darurat, maka Allah akan mengecap hatinya”.

Ibadah sunnah pada hari Jumaat

Perjalan ke masjid - adalah sunnah mengambil jalan yang jauh tetapi apabila pulang sunnah diambil jalan yang dekat - Imam Al-Ghazzali.
Bersedekah - suatu amalan yang sangat mulia yang mendatangkan pahala yang besar. Ia menjauhkan bala, menjauhkan penyakit dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Apatahlagi jika dilakukan pada hari Jumaat.
Berselawat - Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Banyakkanlah berselawat ke atasku pada hari Jumaat kerana sesungguhnya ia adalah hari saksi (hari Jumaat) disaksikan oleh para malaikat.”
Berpakaian cantik dan bersih - digalakkan mandi, kemudian memakai pakaian yang bersih dan berwarna putih kerana pakaian putih lebih disukai Allah SWT. Pakailah minyak wangi yang diharuskan dan berhiaslah dengan memotong rambut, mencukur kumis, memotong kuku dan menggosok gigi. Ibnu Masu'd berkata:“Mereka yg memotong kuku pd hari Jumaat, Allah akan sembuhkan dia dari segala penyakit dan berikannya keselamatan.”
Umat Islam juga dituntut membuat persediaan sebelum menghadiri solat Jumaat untuk mendapat fadhilatnya, termasuk dalam hal berwudhu', mandi sunat dan tertib ketika menghadiri solat Jumaat.

Imam Muslim meriwayatkan di dalam sebuah hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa berwudhu' lalu memperelokkan wudhu'nya, kemudian mendatangi solat Jumaat, terus mendengar dan berdiam diri, tidak berbicara sama sekali, maka diberi tambahan tiga hari lagi.”
“Sesiapa yang memegang kerikil untuk dimainkan sehingga tidak memperhatikan isi khutbah, sesungguhnya dia telah melakukan kelalaian, yakni bersalah.”

Hadith di atas menunjukan bahawa Islam memberi penekanan terhadap perlunya ma'mum menumpukan perhatian kepada khutbah yang sedang disampaikan. Isi kandungan khutbah perlu diteliti bukan hanya sebagai sumber ilmu, malah mencakupi teguran, pembinaan hidup dan nasihat yang berguna.

Umat Islam juga digalakkan berdoa ketika khutbah. Ulama' berpendapat waktunya adalah di antara dua khutbah, iaitu pada saat imam sedang duduk setelah khutbah pertama selesai sebelum beliau bangun untuk khutbah kedua pula. Saat inilah saat yang paling dimustajabkan doa.

Daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Jika seseorang antara kalian mendatangi solat Jumaat, maka hendaklah mandi dulu.” - Muttafaq ‘alaih.

Daripada Samurah, diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Sesiapa yang berwudhu' pada Jumaat, maka dengan keringanan itu, bolehlah dilakukan tanpa mandi tetapi mandi itu adalah lebih utama.” - Hadis Riwayat Imam Abu Daud dan Termizi.

Kemuliaan yang ada pada Jumaat meletakkannya sebagai ‘penghulu’segala hari.

Hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan Abu Hurairah RA yang bermaksud:
“Jumaat dinamakan sebagai ‘Saidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).”
Ada banyak hadith dan riwayat mengenai kelebihan hari Jumaat yang bertujuan menceritakan ganjaran yang perlu direbut oleh umat Islam. Antaranya:
·         Orang yang meninggal dunia pada hari Jumaat akan terlepas soal jawab kubur hingga hari Kiamat. Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak seorang muslim yg mati pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali diselamatkan Allah daripada fitnah kubur.”
·         Sesiapa yang membaca surah Ali Imran pada hari Jumaat, maka Allah SWT dan Para Malaikat AS mendoakan kebaikan ke atasnya sehingga matahari terbenam pada hari itu.
·         Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abi Said Al-Khudri bermaksud: “Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah menerangi hidupnya antara dua Jumaat.”
·         Sesiapa membaca Surah Yassin pada malam Jumaat, Allah SWT mengampunkan dosa kecil yang dilakukan, demikian menurut hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah RA.
·         Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abi Khatadah, bermaksud: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seolah-olah dirinya bersih hingga Jumaat akan datang.”
·         Mereka yang mendirikan solat Jumaat antara satu Jumaat ke satu Jumaat berikutnya, maka Allah SWT mengkifarahkan atau mengelakkan dia daripada terbabit dosa besar.
·         Mereka yang berdoa dengan penuh keikhlasan hati pada hari Jumaat, mudah dimakbulkan Allah SWT.
Imam Al-Ghazzali pernah berkata bahawa Kaab Al-Ahbar (seorang tabien dan ulama yahudi yang memeluk agama Islam pada zaman Saidina Abu Bakar RA) berkata burung-burung dan haiwan apabila bertemu satu sama lain pada hari Jumaat mengucapkan “Selamat, selamat hari yang baik”.


 AMALAN SUNAT LAIN DI HARI JUMAAT

Membaca surah al-Kahfi. 

Ganjaran bagi orang yang membacanya adalah mendapat petunjuk dan pimpinan daripada Allah sepanjang minggu itu.

Hal itu berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud: “Barang siapa yang membaca surah al-Kahfi pada Jumaat, nescaya Allah akan menyinari dirinya dengan cahaya antara dua Jumaat." (Hadis riwayat Baihaqi) 

Membanyakkan membaca selawat ke atas Nabi.

Ganjaran bagi mereka yang memperbanyakkan selawat ke atas Nabi pada Jumaat adalah kasih sayang dari Rasulullah. Sabda Baginda bermaksud:

”Sesungguhnya antara hari kamu yang paling mulia adalah Jumaat, perbanyakkan berselawat ke atasku, kerana selawat kamu itu disampaikan kepada ku."

Membaca surah as-Sajdah pada sembahyang Subuh yang diiringi pula sujud tilawah ke hadrat Allah.

Tiada ganjaran yang lebih besar bagi mereka yang melakukan ibadat ini melainkan syurga Allah. Hal ini seperti sabda Rasulullah yg bermaksud: Apabila anak cucu Nabi Adam membaca surah as-Sajdah kemudian mereka sujud kepada Allah, syaitan mengasingkan dirinya dari majlis itu dalam keadaan menangis sambil berkata: "Celakalah aku, anak cucu Nabi Adam diperintah untuk sujud kepada Allah, lantas mereka sujud kepada Allah. Maka, bagi mereka itu balasannya syurga, sedangkan aku juga disuruh untuk sujud kepada Allah, tetapi aku ingkar. Oleh itu, untukku api neraka." (Hadis riwayat Abu Daud) 

Jumaat adalah hari yang Allah gandakan ganjaran amalan baik hamba-Nya yang soleh. 

Umat Islam digalakkan mengisi malam Jumaat dengan memperbanyakkan ibadat dan pada siangnya, bersegera ke masjid seawal waktu yang mungkin untuk merebut ganjaran pahala yang besar. 

Mereka yang mendengar khutbah Jumaat dengan khusyuk dan bersedekah kepada orang miskin pada Jumaat, itulah orang yang mendapat ganjaran besar daripada Allah.

Demikianlah, betapa hari Jumaat itu, hari penuh kemuliaan dan rahmat, yang mana ianya adalah peluang untuk kita semua mengumpul mata ganjaran ke syurga. Rebutlah peluang yang ada kerna kita tidak tahu sama ada Jumaat yang akan  datang kita masih berkesempatan atau tidak.

Selamat beramal..

#Sumber: Tazkirah.com



Tuesday, 15 February 2011

HIDUP SIHAT BERLANDASKAN SUNNAH RASULULLAH SAW

Lama sudah blog ini tidak terisi. Alhamdulillah, dengan izin dan barokahNya, kali ini berjaya jua saya menerbitkan entri baru berdasarkan sedikit ilmu kurniaan Allah hasil dari pembacaan beberapa buah buku dan blog. Entri kali ini sedikit berbeza, namun benar-benar bermanfaat untuk kita semua. Bersempena mengenang tarikh 12 Rabiul Awal, iaitu tarikh keramat, yang mana telah lahir seorang Rasul yg menjadi teladan untuk seluruh ummat manusia. Baginda adalah kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW. Kelahiran baginda sebagai bukti betapa Allah cinta akan hambaNya, dan Allah tidak mahu hambaNya terus dalam kegelapan. Rasulullah telah memberi panduan dan teladan kpd ummatnya dalam semua aspek kehidupan. Al-Quran adalah mukjizat terbesar yg diturunkan oleh Allah kepada baginda Rasulullah SAW. Al-Quran memberi pedoman kepada sesiapa sahaja yang benar-benar mengharapkannya kerana kecintaan kpd Allah SWT. Selain itu, betapa sayangnya baginda akan ummatnya, baginda telah meninggalkan sunnah-sunnah yang berharga untuk pedoman ummatnya yang amat dikasihi.

P/s: Bagi mahasiswa-mahasiswa jurusan perubatan, diharapkan anda dapat membaca blog ini,.jadikanlah sunnah Rasulullah SAW ini sebagai pedoman, justeru, tidak semua penyakit dapat disembuhkan secara fizikal melalui teknik perubatan moden. Kelak, sebarkanlah sunnah ini kepada pesakit-pesakit kalian..InsyaAllah, di samping merawat, kita akan beroleh rahmat yang tidak ternilai dari Allah SWT sebagai bekalan di hari akan datang..Buat mereka yg tidak terlibat dengan bidang kedoktoran, jadikanlah sunnah baginda SAW sebagai panduan hidup, untuk kebaikan dunia dan akhirat,.InsyaAllah..:)

As-Suyuthi menyatakan penyakit dapat disebabkan oleh beberapa perkara iaitu gangguan udara, salah makan atau salah minum, kekeliruan gerak, rehat yang tidak mencukupi atau berlebihan, respon emosi berlebihan, istirahat emosi belebihan, tidur dan berjaga yang tidak seimbang, adanya cecair berlebihan dalam badan serta gangguan pengeluaran cairan tubuh.

Seandainya kita berpegang dengan sunnah dan ajaran Rasulullah, nescaya badan kita akan sentiasa sihat. Menjaga kesihatan tubuh badan adalah kewajipan setiap umat Islam, sebagaimana Rasulullah SAW yg sgt menitikberatkan kesihatan fizikal dan mentalnya.

Rasulullah begitu hebat! Baginda menyarankan supaya kita membasuh tangan sebelum makan, sedangkan pada masa itu manusia belum pernah melihat kuman. Namun begitu, baginda sedar yg tangan sering menyentuh benda yg mungkin dicemari pelbagai kuman. Kuman yg masuk ke dalam perut akan mengganggu sistem badan dan kelak menimbulkan pelbagai penyakit yg bukan sahaja sukar dikesan malah mungkin sukar diubati.

Baginda juga memberi panduan cara tidur yg betul. Cara tidur yg baik ialah dgn mengiringkan badan ke kanan manakala tangan kanan menyokong kepala. Benar baginda sangat hebat, walhal baginda tidak pernah mempelajari ilmu anatomi. Secara logiknya, kedudukan perut dalam tubuh kita adalah di sebelah kiri, jantung juga terletak di sebelah rongga thorax kiri. Cuba bayangkan seandainya kita tidur mengiring ke kiri, dikhuatiri kita akan memberi tekanan kpd perut dan juga jantung hingga mempengaruhi kemampuan jantung, mengganggu irama(ritma) dan kemampuannya mengepam darah. SUBHANALLAH..sunnah Rasulullah itu benar-benar hebat.

Rasulullah SAW menganjurkan berbekam. Justeru ianya dapat membantu menyingkirkan toksik dalam badan. Beberapa kajian yg dilakukan di timur tengah mendapati darah yg dikeluarkan melalui berbekam sememangnya mengandungi toksik. Penelitian mikroskopik pd darah bekam menunjukkan darah tepinya memberi kesan darah rosak. Kajian yg dilakukan pd tahun 2001 mendapati apbl darah bekam dibandingkan dgn darah vena, ia memberikan gambaran jenis yg tidak sama walaupun diambil pd waktu yg sama.

Sedih adalah perasaan yg seringkali hadir dalam naluri manusia, namun kesedihan yg berpanjangan akan mengganggu kesihatan tubuh badan kita. Emosi yg tidak menentu justeru mengganggu  sistem endokrin tubuh, justeru rembesan hormone-hormon yang tertentu dalam badan akan terganggu. Sayugia seringkali kesedihan ini berpunca drpd  rasa cinta yg berlebihan kpd kesenangan duniawi. Seterusnya, ini akan menyebabkan penyakit paru-paru, membebankan fungsi kelenjar dan menjejaskan keseimbangan hormone. Justeru, perbanyakkanlah membaca surah al-Insyirah ketika bersolat. InsyaAllah hati akan merasa tenang walaupun seribu masalah membelenggu diri.

#Sumber dari pembacaan "365 Tips Sihat Gaya Rasulullah" karya "Dr. Mohammad Ali Toha"

Diet Rasulullah
Rupanya tanpa kita sedari, dalam makanan yang kita makan sehari-hari, kita tak boleh makan sesuka hati kita saja. Inilah penyebab terjadinya berbagai penyakit antara lain penyakit kencing manis, lumpuh, sakit jantung, keracunan makanan dan lain-lain penyakit. Apabila anda telah mengetahui ilmu ini, tolonglah ajarkan kepada yang lainnya.

Ustaz Abdullah Mahmood mengungkapkan, Rasulullah tak pernah sakit perut sepanjang hayatnya kerana pandai menjaga makanannya sehari-hari. InsyaAllah kalau anda ikut diet Rasulullah ini, Anda takkan menderita sakit perut ataupun keracunan makanan.

Jangan makan SUSU bersama DAGING
Jangan makan DAGING bersama IKAN
Jangan makan IKAN bersama SUSU
Jangan makan AYAM bersama SUSU
Jangan makan IKAN bersama TELUR
Jangan makan IKAN bersama DAUN SALAD
Jangan makan SUSU bersama CUKA
Jangan makan BUAH bersama SUSU (Contoh : KOKTEL)

CARA MAKAN
* Jangan makan buah setelah makan nasi, sebaliknya makanlah buah terlebih dahulu, baru makan nasi.
* Tidur 1 jam setelah makan tengah hari.
*Jangan sesekali tinggal makan malam. Barang siapa yg tinggal makan malam dia akan dimakan usia dan kolesterol dalam badan akan berganda. Nampak memang sulit.. tapi, kalau tak percaya? Kesannya tidak dalam jangka pendek?. Kesannya akan nampak bila kita sudah tua nanti.
* Nabi pernah mencegah kita makan ikan bersama susu. kerana akan cepat mendapat penyakit. Ini terbukti oleh ilmuwan yang menemukan bahawa dalam daging ayam mengandung ion+ sedangkan dalam ikan mengandung ion-, jika dalam makanan kita ayam bercampur dengan ikan maka akan terjadi reaksi biokimia yang akan dapat merosakkan usus kita.

Antara amalan-amalan kesihatan lain yang wajar diamalkan:

1. Mandi Pagi sebelum subuh, sekurang kurangnya sejam sebelum matahari terbit. Air sejuk yang meresap ke dalam badan dapat mengurangi penimbunan lemak. Kita boleh saksikan orang yang mandi pagi kebanyakan tidak gemuk.

2. Rasulullah mengamalkan minum segelas air sejuk (bukan air dalam peti sejuk/ais) setiap pagi. Mujarabnya InsyaAllah jauh dari penyakit (susah mendapat sakit).

3. Waktu sembahyang subuh disunatkan kita bertafakur (iaitu sujud sekurang kurangnya seminit setelah membaca doa). Kita akan terhindar dari sakit kepala atau migrain. Ini terbukti oleh para ilmuwan yang membuat kajian kenapa dalam sehari perlu kita sujud. Ahli-ahli sains telah menemui beberapa milimeter ruang udara dalam saluran darah di kepala yg tidak dipenuhi darah. Dengan bersujud maka darah akan mengalir ke ruang tersebut.

4. Nabi juga mengajar kita makan dengan tangan dan bila habis hendaklah menjilat jari.Begitu juga ahli saintis telah menemukan bahawa enzim banyak terkandung di celah jari-jari, iaitu 10 kali ganda terdapat dalam air liur. (enzim sejenis alat percerna makanan).

#p/s: sumber dr seorg teman seperjuangan, Fakulti Perubatan UNHAS

Sabda nabi : "Ilmu itu milik Allah, barang siapa menyebarkan ilmu demi kebaikan insyaAllah, Allah akan menggandakan 10 kali kepadanya"


Monday, 3 January 2011

Lintasan Hati Suci II


Di keheningan subuh, hatiku tiba-tiba terpanggil untuk meluahkan isi hati ini. Sedari tadi hati ini diselaputi kegusaran. Hanya air mata menjadi saksi, saat diri ini bermunajat dan berdoa padamu, kerisauan kian bertandang dalam hati ini, rasa bersalah kian menebal dalam diri seolah-olah diri ini terlalu egois kerna membiarkan sahabat-sahabat terus leka dibuai keseronokan dunia yang penuh kepalsuan. Sayugia setelah selesai melaksanakan fardhu subuh, kucapai kalamMu Ya Allah, dan dalam doa ku mohon agar Engkau memberi kekuatan kepadaku agar aku bisa menyampaikan wasilah dakwah ini. Aku sedar diri ini hanya insan kerdil lagi daif, namun ku mohon agar sedikit sebanyak wasilah tarbiyah ini bisa menyentuh hati sahabat-sahabatku di luar sana, ku mohon agar hati mereka masih terbuka untuk menerima wasilah ini. Ku mohon agar kelembutan masih bersisa di dinding hati mereka agar wasilah ini bisa menjadi antibiotik untuk hati mereka. Mudah-mudahan sel-sel fagosit di hati mereka masih kuat untuk melawan virus kealpaan dunia, mudah-mudahan hati mereka masih diselaputi kapsul iman, dan semoga duktus limfa dalam badan mereka masih terlindung dari penyebaran kanser malignan hati  ciptaan syaitan yang durjana yang bisa menjejaskan seluruh fungsi badan dan minda.

Ya Allah, aku benar-benar kesal tatkala melihat melihat sahabat-sahabatku semakin asyik dengan dunia. Subhanallah..betapa syaitan dan sekutunya sedang berpesta atas kemenangan mereka, tatkala berjaya menakluk hampir keseluruhan sel-sel hati dan pemikiran manusia. Aku tidak pernah menyalahkan sahabat-sahabatku, justeru aku tahu hati ini begitu mudah terpedaya dengan bisikan syaitan, iman dalam diri ini persis output pada mesin ‘elektrokardiogram’, persis denyut nadi yang seringkali naik dan turun mengikut stimulasi dan persekitaran. Aku pasti ia benar-benar sukar untuk menangkis serangan virus dari syaitan laknatullah kerna mereka tidak akan pernah melupakan janji mereka kepada Allah bahwa mereka tidak akan berhenti merosakkan akhlak manusia sehingga tibanya hari kiamat. Sayugia ku luangkan sedikit waktu kurniaan Ilahi ini untuk meyucikan hati ini agar aku mampu memberikan antibodi suci untuk limfosit hatiku dan sahabat-sahabat ku jua. Justeru, sedaya upaya ku cuba memberi suntikan antibiotik suci untuk minda dan hati para sahabat sekalian agar dikau bisa membina benteng pertahanan untuk melawan parasit yang membentuk kista dalam duktus hempedu kalian yang kelak mengakibatkan bilirubin toksin berkumpul dan menghambat kesucian hati.

‘LINTASAN HATI’….tajuk ini ku pilih untuk entri kali ini sempena tajuk salah satu bab dalam ‘Soal Hati’ hasil karya Mohd Afendi Mat Rani. Semoga perkongsian ilmu ini bukan sahaja memberi keberkatan untuk kita, sayugia penulis buku ini jua turut mendapat redha Ilahi. Subhanallah..Allah itu Maha pemurah..sedikit sahaja yang kita lakukan, berganda pahala yang bertandang..

Lintasan hati yang baik datangnya dari Allah dan malaikatNya. Lintasan hati baik yang teguh dan kuat itu datangnya dari Allah SWT, dan seandainya berlaku keraguan dan berubah-ubah, ia adalah lintasan dari malaikat kerna hakikatnya malaikat itu senantiasa hadir ke dalam diri manusia, memberi nasihat dan menyeru ke arah kebaikan dengan harapan hati ini akan terpana dan rindu akan kebaikan. ~Soal Hati; 100

Jika kita benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh melakukan ibadat, pasti anugerah Allah itu hampir dengan kita. Lintasan hati yang baik pasti menjadi tamu istemewa buat hati yang sentiasa dahagakan cairan hempedu suci ini. Inilah janji Allah buat hambaNya yang tekun dan tawaduq, sebagaimana firmanNya dalam surah al-Ankabut ayat 69:

Maksudnya: Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan  kami (yg menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.

Hal ini selari dengan firman Allah yang seterusnya yang bermaksud:

Dan (sebalikya) orang-orang yang menerima petunjuk (ke jalan yg benar), Allah menambahi mereka dgn hidayah petunjuk, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertaqwa.

Kita sebagai hamba yang daif di bumi Allah ini harus sedar bahwa dunia ini hanyalah sekadar tempat persinggahan untuk kita berteduh, perjalanan kita masih lagi jauh, dan  akhirat itulah penghujung segalanya. Anggaplah manusia ini cuma pengemis daif di dunia ini, yang hanya mengharap simpati pencipta dan pemilik agung sekalian alam semesta, Allah SWT. Allah memberi kita kesempatan merasa nikmat dunia kerna Ia ingin menguji hambaNya. Seandainya kita kuat, pasti firdausi jua destinasi kita, namun andainya kita tewas, neraka jua menanti. Syurga itu pasti bagi umat Nabi Muhammad SAW, namun perjalanan ke sana tidak semudah yang dituturkan. Hisab Allah itu adil dan saksama. Neraca Allah (al-Mizan) itu tidak akan pernah tersasar, bahkan, biar kebaikan mahupun kejahatan yang sebesar zarah pun akan dihitungkan seadilnya di mahkamah Allah kelak. Tatkala itu, biar hati kita cuba menafikan kejahatan, namun pancaindera kita tidak bisa menipu dan merka amat taat akn penciptanya; mata, telinga, hidung, lidah; yang selama ini menjadi saksi akan membuat pengakuan kepada pemilikNya yang abadi. Tiada sedikit pun yang ditinggalkan.

Justeru, di sini ku ingin berkongsi sedikit wasilah agar kita dapat memuhasabahkan diri ini dan semoga penulis ’Soal Hati” ini memperoleh rahmat yang melimpah ruah melalui perkongsian tabiyah ini.

Mengapa hati ini mudah goyah; mengapa iman kita sekejap di atas, sekejap di bawah; mengapa seringkali kita alpa dan leka; mengapa kita seringkali merungut walhal nikmat Allah itu sentiasa melimpahi kita. Jawapannya, kerna syaitan itu ada di mana-mana. Tanpa benteng pertahanan dan tembok yang kukuh, limfosit hati ini pasti akur dengan bisikan mereka yang sentiasa cuba menyelinap masuk ke dalam neuron-neuron akal manusia. Kenalilah sahabatku, dan gunakanlah kebijaksanaan akal untuk membezakan antara lintasan hati suci dan bisikan syaitan.

Sesungguhnya terdapat tujuh aktiviti syaitan terhadap anak Adam:

i.                    Syaitan melarang kita daripada membuat ketaatan kepada Allah. Jika Allah melindungi kita daripada syaitan, maka kita akan menolak larangan Allah dan berhajat untuk melakukan ketaatan kepadaNya sebagai bekalan menuju ke destinasi akhirat yang kekal abadi.
ii.                   Syaitan mengajak supaya menangguhkan amalan kebaikan dan ketaatan kepada Allah. Jika Allah memelihara kita daripada bisikan syaitan, kita akan menolak ajakan syaitan dan senantiasa mengenangkan kedatangan ajal yang akan menjemput kita bila-bila masa sahaja. Maka kita akan bersegera melakukan amalan kebaikan untuk mengejar pahala dan rahmat Allah.
iii.          Syaitan menyuruh kita melakukan amal dengan tergopoh-gapah. Jika Allah menjauhkan kita daripada syaitan, maka kita akan berkata: ”Amalan yg sedikit dan sempurna itu lebih baik daripada amal yg banyak tetapi kurang sempurna”.
iv.                 Syaitan mengajar manusia agar beramal dengan iringan sifat riya’ untuk diperlihatkan kepada orang lain. Jika Allah menjaga amal kita daripada ajaran syaitan, maka kita akan merasa malu untuk memperlihatkan amalan kita kepada orang lain, bimbang amalan tidak mencukupi, dan malu kepada Allah SWT.
v.                  Syaitan mengkehendaki kita jatuh ke dalam kebinasaan sifat ’ujub agar kita bangga dengan pangkat dan kelebihan. Kalaulah Allah tidak mahu kita bersama syaitan, kita akan berkata, ”Kedudukan, pangkat dan kelebihan adalah daripada Allah, yang diberi secara sementara dan tidak akan kekal. Allah sahajalah yang menentukan amalan kita menjadi bernilai. Semuanya adalah nikmat Allah yang banyak berbanding amal yang sedikit, dan maksiat kita yang banyak”.
vi.                 Syaitan memujuk manusia dengan penuh kehalusan tanpa kita sedar. Kita dibisik agar mengerjakan amal secara tersembunyi tetapi sayugia mengharapkan pujian dari orang ramai. Jika Allah memelihara kita pasti kita berkata, ”hanya kepada Allah hambaMu menyerah segala amal dan perbuatan ini. Sama ada zahir atau tersembunyi, hanya Allah yang berhak menilainya”.
vii.                Syaitan melahirkan keyakinan dalam diri manusia bahwa kita dijadikan Allah sebagai seorang yang bahagia dan baik di Loh mahfuz, maka kita akan menjadi baik sekalipun tanpa beramal. Kalaulah Allah menyayangi kita, kita akan dijauhkan daripada syaitan, kita akan berfikir bahawa kita adalah makhluk Allah, hamba kepadaNya, maka kita wajib mentaati perintah dan suruhanNya. Amalan inilah yang akan memberi syafaat sebagai ganjaran pahala dan syurga Ilahi.
                                                                                                                         ~Soal Hati; 101,102


Demikianlah sahabatku, renungkanlah bersama, di manakah kita, adakah kita yakin kita benar-benar beriman, sedangkan kita tidak diuji. Hidup ini penuh pancaroba, semakin banyak dugaan dan rintangan, semakin tinggi kasih Allah terhadap hambaNya. Orang yang diberi ujian oleh Allah adalah mereka yang terpilih. Tabahkanlah hatimu, sujudlah kepada yang Maha Esa. Tangisilah segala dosa-dosamu, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun. Pintu taubat itu sentiasa terbuka sehingga tibanya hari kiamat. Namun kita tidak pernah tahu bilakah kiamat akan berlaku, bahkan kita tidak pernah tahu bilakah Malikilmaut akan menjemput kita, mungkin saat ini, mungkin beberapa minit lagi, mungkin beberapa jam lagi, mungkin esok, mungkin lusa..Subhanallah..sahabatku....kembalilah kepada penciptaMu, bepautlah pada paksi yang benar. Memang sukar untuk lari dari helah syaitan dan iblis laknatullah, justeru hiasilah dirimu dengan peribadi dan akhlak yang mulia, basahilah bibirmu dengan zikrullah, sujud dan berdoalah tanpa jemu. Petunjuk Allah itu jelas lagi nyata. Semoga lintasan hati suci itu menjadi milik kita sebagai pertahanan buat limfosit hati yang sering kecundang dengan virus dan parasit perosak. Mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam golongan yang tewas dengan perang pemikiran dunia hari ini, tatkala zionis (Yahudi) bertungkus lumus membunuh hati umat Islam. Nauzubillah...

Doa amalan seharian:

Bismillahirrahmanirrahim...

Allahumma arinal haq’qa haq’qa, warzukna it’tiba’ah,
wa arinal baatila baatila, warzukna ijtinabah

Maksudnya:

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang..

Ya Allah, perhatikalah aku kebenaran dengan yang benar, dan berikanlah aku jalan untuk mengikutinya;
Dan perhatikanlah aku kebatilan dengan yang batil, dan berilah aku jalan untuk menjauhinya.

Amin...wassalam..

Sunday, 19 December 2010

Hidup Cuma Senafas.....


Sudah lama laman ini tidak terisi dengan pengisian suci lantaran batasan waktu yang mengehadkan pancainderaku untuk menyampaikan wadah tatkala fardhu kifayah lebih mendambakan perhatian dariku. Namun sisa-sisa waktu kurniaan Ilahi pasti ku gunakan sebaiknya agar ia tidak terisi angan-angan kosong yang menjadi faktor kegagalan muslimin dan muslimat hari ini.

Malam tadi, sebelumku melelapkan mata, aku sempat membelek helaian-helaian buku yang kupinjam dari rakan seperjuanganku. Ku lihat kulit depan buku itu sepintas lalu- "Soal Hati” hasil karya Mohd Afendi Mat Rani. Lantas, persoalan bermain di fikiranku, "apakah yang cuba disampaikan oleh penulis berdasarkan judul tersebut?”. Ku biarkan persoalan itu bermain di benak fikiranku, kerna ku pasti jawapannya ada di dalamnya. Lantas ku lihat sepintas lalu isi kandungannya. Bab 32 buku tersebut menarik perhatianku-"Faktor Kegagalan Manusia: Panjang Angan-angan”. Subhanallah, aku segera memuhasabahkan diri ini kerna ku rasa angan-angan sering menjadi temanku kebosanan menjengah, sayugia kelapangan tidak terisi tarbiyah Ilahi. Mudah-mudahan, Allah menjauhkan diri ini dari kelalaian dan kealpaan dunia yang sementara.

"Seseorang yang mempunyai banyak angan-angan menghalang dirinya daripada melakukan segala kebaikan dan membawa kepada kejahatan dan fitnah” – Soal Hati, 134

Tatkala kita lebih memilih nafsu dan hati, syaitan semakin girang mendorong kita. Angan-angan palsu menjadikan hati manusia keras dan alpa akan kehidupan akhirat yang kekal abadi.

"Berlalulah masa yg panjang atas mereka dengan panjang umur dan angan-angan, lalu hati mereka menjadi keras” – Surah al-Hadid:16

Bagaimana hati ini bisa dilembutkan???

Hati manusia bisa dilembutkan tatkala sering mengingati kematian, kubur, pahala, dosa, azab Allah dan urusan akhirat. Sebagaimana kata-kata Imam al-Ghazali:

'Kalau kamu memanjangkan angan-angan, maka kuranglah taat kamu kepada Allah, terlambatlah untuk bertaubat, banyaklah perkara maksiat yg akan kamu lakukan, bertambahlah tamak haloba, keras hati dan besarlah kelalaian kamu. Lalu akhirat akan berlalu pergi tanpa bekalan”.

Nauzubillah....

Sahabatku, mahukah kita pulang ke akhirat tanpa bekalan? Dapatkah kita bayangkan betapa pedih dan azabnya saat nyawa ditarik dari hujung kaki sampai ke ubun-ubun rambut? Sedangkan Rasulullah SAW yang nyawanya ditarik dengan penuh kelembutan oleh Malik Izrael itu masih merasakan kesakitan, inikan kita yang hanya manusia biasa, yang tidak punya kemaksuman, yang saban hari bergelumang dosa. Apa yang bakal kita jawab tatkala Malaikat Mungkar dan Nakir menyoal amalan kita di alam barzakh kelak? Mampukah kita menyelamatkan jasad kita tatkala binatang-binatang berbisa: ular, kala-jengking, lipan mengelilingi jasad kita di alam barzakh kelak? Apakah yang akan diperakukan oleh pancaindera kita di akhirat kelak? Sesungguhnya pancaindera kita lebih taat kepada Allah SWT, mereka adalah saksi akan perlakuan kita di dunia ini. Kita yang seringkali mengheret mereka bersama ke arah kelalaian dan kemungkaran ar-Rabb.

Subhanallah...

Pasti sahabat-sahabat semua mengimpikan kesudahan yang baik, ”Khusnul Khatimah”. Oleh itu, kembalilah sahabatku, kembalilah pada kebenaran, segeralah kita meninggalkan kebatilan dunia yang penuh muslihat syaitan. Tinggalah segala kemungkaran, sayugia rahmat Allah pasti sentiasa memayungi hambaNya yang bertaqwa.

Pahlawan Islam ternama, yang pertama memeluk Islam, juga menantu kesayangan Rasulullah SAW, iaitu Saidina  Ali bin Abi Talib pernah berkata:

"Sesungguhnya yang paling aku takuti terhadap diri kamu ada dua, panjang angan-angan dan mengikut hawa nafsu. Ketahuilah bahawa panjang angan-angan melupakan akhirat dan mengikut nafsu akan memalingkan drpd kebenaran. Jika fikiran dan kebanyakan urusan hidup kita tertumpu pada percakapan dunia, sebab-sebab kehidupan, dan hal-hal urusan persahabatan dan lain-lain, maka hati kamu akan menjadi keras”

Nauzubillah...semoga amalan kita sentiasa mencegah kita dari bersifat demikian..

Ingatlah sahabatku, dunia ini hanya sementara, akhirat jua yang kekal abadi, berpada-padalah dalam menguruskan hal duniawi. Justeru, akhirat jua yang kekal abadi. Maka, kejarlah yang abadi agar kita mendapat redha Ilahi.

Isa ibn. Maryam mengatakan mengatakan setiap kita hanya memiliki tiga hari :

"...dunia itu hanya tiga hari sahaja. Kelmarin yg berlalu dan tiada satu pun drpdnya yang tertinggal di tangan kamu. Esok kamu tidak mengetahui sama ada kamu sempat dengannya atau tidak? Maka hari ini yang kamu sedang berada padanya, maka hendaklah kamu merebut peluang keuntungan drpdnya”.

Auf bin Abdullah pula mengatakan usia kita hanya sehari :

"...betapa ramai orang yg sihat melalui satu hari, tetapi dia tidak sempat menghabiskannya kerana dijemput ajal. Betapa ramai yg menunggu esok hari tetapi tidak sempat menemuinya.”

Abu Zar al-Ghifari pula mengatakan usia kita hanya tiga saat sahaja :

"...dunia ini hanya tiga saat sahaja. Saat yg berlalu, saat yg kamu berada padanya dan saat yg kamu tidak mengetahui sama ada kamu sempat dengannya atau tidak. Maka sebenarnya kamu tidak memiliki melainkan satu saat sahaja, kerna maut itu datang drpd saat ke saat.”

Tetapi Abu Bakar al-Warraq menyatakan, kalau usia itu tiga saat ia sebenarnya dikira panjang kerna usia manusia sebenarnya bukan tiga hari, bukan sehari, bahkan bukan juga tiga saat, tetapi hanya tiga nafas sahaja.

"...dunia ini hanya tiga nafas sahaja. Nafas yang telah berlalu, nafas yg kamu kerjakannya iaitu nafas yg kamu sedang berada padanya, dan nafas yg kamu tidak mengetahui sama ada kamu sempat dengannya atau tidak. Berapa ramai orang yg bernafas lalu dikejutkan oleh maut sebelum sempat bernafas yg lain. Maka sebenarnya kamu tidak memilik melainkan satu nafas sahaja, bukan satu hari atau satu jam.”

Oleh yg demikian, kita semua haruslah bertaubat dalam nafas yg pertama kerna mungkin kita tidak sempat untuk bernafas pada nafas yg kedua.-Soal Hati:135.

Maut itu terlalu hampir dan paling dekat dengan kita. Tiada yg lebih dekat melainkan maut. Justeru, sama-samalah kita memuhasabahkan diri ini yg sering kali leka tatkala iman manusia itu seperti roda, kadangkala di atas, kadangkala di bawah. Mohonlah pada Allah agar kita diberi ketetapan iman dan keteguhan hati agar kita mampu memilih kebenaran dan menolak kebatilan.

Wassalam....

P/s: Sebahagian daripada isi artikel ini adalah petikan daripada "Soal Hati", hasil karya:Mohd Afendi Mat Rani

Friday, 10 December 2010

Mencari Cinta Sejati...

Hampir seminggu blog ini tidak terisi dengan tarbiyah pengubat jiwa, tatkala tuntutan fardhu kifayah lebih mendambakan perhatianku menelaah ilmu kurniaan-Nya..namun Alhamdulillah, Allah itu Maha Pengasih, tatkala kesibukan membelenggu hambaNya, masih ada sedikit ruangan waktu yang tersisa untuk ku berkongsi sedikit sebanyak ilmu dan kefahaman kurniaan Ilahi..

Tatkala diri ini sibuk menyajikan minda dengan hidangan ilmu sains perubatan, hati juga tidak ku lupa agar ia turut tersaji dengan nutrisi dan zat-zat suci yang kemudiaannya memberi keseimbangan kepada metabolisme tubuh ini. Keseimbangan metabolisme minda dan hati inilah yang seterusnya menjadi panduan untuk kita bertindak berlandaskan gerak hati dan logik akal. Makanan hati yang suci adalah tarbiyah ilmu yang diredhai Allah yang berlandaskan syafaat al-Quran dan hadith Rasulullah saw. Hati, jantung dan minda yang sihat membantu membina benteng pertahanan untuk tubuh ini dari serangan pelbagai virus yang memusnahkan jaringan sel-sel hati dan minda manusia sedikit demi sedikit. Sayugia diri ini khuatir seandainya virus perosak itu berjaya menewaskan limfosit hati, lantas tidak akan ku biarkan jiwa ini kosong tanpa pengisian.

Ku capai sebuah buku berlatar merah jambu dengan harapan rembesan hempedu suci akan menolak cairan bilirubin toksin keluar dari hati ini. Ku selak satu persatu helaian-helaian ’Jalan Wanita Solehah’ yang belum sempat ku hayati minggu lalu. Topik yang menarik perhatian ku adalah ”Cinta Wanita Muslimah kepada Tuhannya”, lantaran hari semalam juga topik yang hampir sama dibincangkan oleh seorang ustaz dalam satu majlis perkongsian ilmu iaitu ”Mencari Cinta Sejati”. Tatkala itu, ku simpulkan kedua-dua tajuk ini dalam satu untaian kukuh iaitu ”Cinta sejati seorang muslimah itu hanyalah untuk penciptaNya yang agung”..

Ku petik kata-kata ustaz semalam, ”Setiap manusia itu sejak azali lagi diberikan naluri cinta oleh Allah agar ia bisa menyintai akan apa yang ada di sekelilingnya”. Benar kata ustaz itu, Allah SWT itu maha penyayang, dikurniakanNya rasa cinta dalam setiap jiwa hambaNya agar mereka saling menghargai antara satu sama lain. Bayangkan seandainya Allah tidak meletakkan rasa cinta dalam jiwa manusia, pasti dunia ini porak-peranda dengan kekejaman dan pertumpahan darah sahaja seperti mana yang dilakukan rejim Zionis terhadap bangsa Palestin. Sesungguhnya kekejaman mereka telah tercatat dalam kalam suci Allah, al-Quran nur Qarim supaya umat Islam hari ini berjaga-jaga dan tidak lalai. Subhanallah, Maha suci Allah yang lebih mengetahui, setiap kejadianNya terlalu sempurna dan penuh ketelitian. Namun, manusia hari ini meletakkan naluri suci kurniaan Ilahi pada tempat yang salah. Cinta yang pada azalinya suci disalurkan pada jalan yang batil sehingga kesucian cinta itu luntur dan pudar begitu sahaja. Kerana gelojak nafsu dan cinta yang didorong oleh syaitan yang sentiasa meracuni akal, manusia hari ini hanyut, maksiat berleluasa di segenap pelusuk dunia. Tiada sekelumit pun rasa malu kepada pencipta, mereka tanpa segan silu melakukan maksiat tanpa menghiraukan bahawa anggota tubuh dan pancaindera mereka sedang menjadi saksi untuk diadili di mahkamah akhirat kelak. Nauzubillah....semoga Allah menjauhi kita dari kemungkaran ini..

Sesungguhnya manusia tidak akan mencintai-Nya melainkan ketika pintu-pintu cinta itu dibukakan untuk mereka. Pintu cinta Ilahi itu sentiasa terbuka bagi mereka yang mendambakannya. Akan tetapi, manusia tidak akan mampu masuk melaluinya melainkan mereka mengikut jalan kalam Allah dan as-sunnah - Jalan Wanita Solehah,63.

Soleh al-Mari pernah berkata di hadapan Rabi’ah: ”Siapa yang paling banyak mengetuk pintu, maka dibukakan pintu untuknya.” Lantas  Rabi’ah berkata, ”Pintu terbuka, akan tetapi siapa yang ingin masuk ke dalamnya?”

Persoalan itu pasti terjawab bagi hamba-hamba yang sentiasa menghargai ketajaman akal dan membelai jiwa dengan ayat suci al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup. Janji Allah itu pasti, cinta Ilahi akan diraih sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 119 yang bermasud:”Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintaiNya...”

”Apabila pohon cinta telah tertanam di dalam hati, disiram dengan air keikhlasan, mengikut sunnah Nabi saw, telah berbuah aneka buah-buahan, maka ia dapat mendatangi untuk memakannya setiap waktu dengan izin Tuhannya. Akarnya tetap kukuh di dalam hati dan cabangnya bersambung di Sidratul Muntaha.” – Imam Ibnu Qayyim (Kitab Madarijul Salikin)

Sebagai mengakhiri perkongsian ini, ku panjatkan syukur kepada Ilahi atas kurniaanNya yang memberi ruangan untuk ku berkongsi dengan teman-teman di laman tarbiyah ini. Selawat dan salam buat junjungan mulia, Nabi Muhammad saw yang mendidik umatnya berpandukan as-sunnah. Semoga dengan ini, sama-samalah kita memburu cinta Ilahi. Cinta manusia tidak akan kekal dan sering kali luntur dek peredaran waktu. Hanya cinta Ilahi yang kekal abadi dan ingatlah janji-janji Allah itu pasti buat hambaNya yang tawaduq serta sentiasa mencari keredhaanNya...